Umrah DIY Jan 2025: Pengalaman Terindah ~ Kuala Lumpur ke Madinah (part 1)

Umrah DIY Jan 2025: Pengalaman Terindah ~ Kuala Lumpur ke Madinah (part 1)

Assalamu’alaikum semua!
Pada tahun lepas bulan Januari 2025 saya ke Tanah Suci Makkah dan Madinah melakukan Umrah secara DIY tanpa mengikut rombongan atau Travel Agent. Ada yang bertanya bagaimana saya menguruskan perjalanan Umrah saya selama 2 minggu tersebut. Mengapa tidak guna service TA, Jika ada apa-apa hal berlaku bagaimana, Dan pelbagai soalan lagi.

Oleh itu untuk post kali ini saya ingin berkongsi dengan anda cara saya Umrah DIY. Tujuan saya hanyalah untuk berkongsi pengalaman saya sendiri. Anda tidak perlu ikut 100% cara saya. Kerana masing-masing ada cara dan plan (itenarary) tersendiri. Ini hanyalah sedikit panduan, bukan berarti jika anda ikut cara saya anda akan OK. Sekadar perkongsian ye…

Sebenarnya, pada pandangan saya Umrah DIY tidaklah sesukar yang disangka jika kita telah buat persediaan awal. Banyakkan membaca pengalaman orang lain. Anda boleh saja google dan dapatkan info yang perlu. Bagi yang sering travel dan mengembara, pasti tiada masalah.

Tentukan tarikh. Bila nak pergi? Berapa lama? Budget? Nak pergi sebelum atau selepas musim Haji. Awal, pertengahan atau hujung tahun. Bulan October sehingga February adalah waktu paling nyaman jika anda ingin lakukan Umrah. Musim sejuk. Walau bagaimanapun, inilah masa orang ramai dan berduyun datang ke Tanah Suci untuk tujuan yang sama, Umrah.

Berikut adalah perancangan saya: Saya telah rancang untuk buat Umrah seawal enam bulan sebelum bertolak. Saya memilih untuk pergi pada bulan Januari kerana ketika itu cuaca nyaman dan keadaan agak lega sedikit kerana bukan musim cuti sekolah.

1. Penerbangan: Strategi ‘Transit Sendiri’ & Manfaat Tiket Staf

Memandangkan anak saya bekerja dengan Malaysia Airlines (MAS), saya berpeluang menggunakan tiket staf yang jauh lebih murah. Namun, cabarannya adalah tiada slot terus (direct flight) ke Madinah untuk staf. Jadi, saya buat strategi sendiri:

  • KUL ✈️ DOHA (MAS): Saya ambil penerbangan MAS sehingga ke Doha.
  • DOHA ✈️ MADINAH (Flynas): Di Doha, saya bertukar ke penerbangan Flynas.
  • Penting! Ini bukan transit biasa. Saya perlu keluar melalui imigresen di Doha, ambil beg, dan check-in semula untuk penerbangan Flynas. Penat sedikit, tapi penjimatan kosnya sangat berbaloi!
  • Namun anda boleh ambik penerbangan terus ke Madinah. MAS, SAUDI, AA ada direct flight ke Madinah.
Penerbangan dengan Pesawat Flynas dari Doha ke Madinah sekitar 2 jam lebih..

Kenapa saya pilih Madinah dan tidak ke Makkah dahulu? Kerana lebih mudah masuk ikut Madinah guna Visa Pelancung. Saya ingin rehat beberapa hari dahulu sebelum ke Makkah. Lagipun jarak antara Airport Madinah ke Hotel sekitar Masjid Nabawi tidak jauh, dalam 30 minit perjalanan dengan kereta atau Bus.
Airport Madinah kecil dan tidak sesibuk Airport di Jeddah. Alhamdulillah, mudah sangat bagi saya. Tiada sebarang sekatan atau pertanyaan dari pihak Imigresen atau Kastam. Segalanya berjalan lancar.

2. Visa Pelancong: Lulus Dalam 1 Jam!

Ini adalah perkara paling utama anda perlu beri perhatian. Apply Visa, tak kira Visa Umrah atau Visa Pelancung. Untuk Visa Pelancung anda boleh apply sendiri secara online. Rakyat Malaysia memang layak memohon eVisa secara dalam talian. Saya apply visa 2 minggu sebelum berangkat.

  • Kos: Sekitar RM400+ (termasuk insurans kesihatan wajib).
  • Proses: Sangat pantas. Saya mohon secara online dengan Kedutaan Saudi di KL dan kelulusan diterima melalui emel dalam masa 1 jam sahaja!

3. Hotel: Tip ‘Secure’ Bilik di Booking.com

Saya banyak baca di sosmed bagaimana pihak hotel di Madinah dengan sewenangnya membatalkan tempahan hotel. Ini adalah satu kebimbangan utama jemaah DIY. Terutama pada musim puncak, Bayangkan apabila anda nak check-in hotel tiba2 reception kata tempahan anda dibatalkan kerana hotel penuh. Pasti kelam kabut ketika itu.

Saya juga bimbang bab hotel ni, oleh itu saya Tawakkal dan booking juga bilik hotel melalui…

  • Booking.com: Saya buat tempahan melalui aplikasi ini.
  • Bayar Terus (Prepaid): Saya pilih untuk bayar terus semasa booking dan bukannya “free cancellation” atau “pay at property”. Ini penting untuk mengunci (secure) bilik tersebut supaya pihak hotel tidak mempunyai alasan untuk membatalkan tempahan kita apabila tiba di Madinah atau Makkah kelak.

Anda perlu tempah hotel dengan agent hotel yang “STRONG”, contohnya Booking.com atau Agoda atau terus booking dengan Website Hotel. Contohnye Hotel Hilton yang mempunyai booking website untuk seluruh rangkaian Hilton seluruh dunia (centralised). Pilih hotel yang berwibawa, bukan hotel 2 bintang yang anda tidak pernah dengar namanya. Biar menangis dahulu jangan menangis kemudian.

4. Itinerari Ringkas (2 Minggu)

Saya bahagikan masa supaya lebih tenang untuk beribadah:

  • Madinah (4 Malam): Fokus ziarah dalaman dan merebut peluang ke Raudah.
  • Makkah (8 Malam): Fokus ibadah Umrah dan tawaf sunat.
  • Transport Madinah ke Makkah: Saya memilih untuk menaiki Haramain High Speed Railway (HHR). Perjalanan hanya sekitar 2 jam lebih sahaja—sangat selesa dan moden!

Selepas menempuh perjalanan ‘transit sendiri’ dari Doha, akhirnya saya menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah. Bagi jemaah DIY, fasa ketibaan ini sangat penting untuk kelancaran ibadah kita.

Berikut adalah ‘checklist’ wajib dan pengalaman saya menguruskan logistik di Madinah:

1. Persediaan Digital (Apps Wajib)

Sebelum terbang, pastikan telefon anda sudah siap dengan aplikasi berikut:

  • Nusuk (Versi Terkini): Ini paling wajib. Tanpa permit dalam aplikasi Nusuk, anda tidak akan dibenarkan masuk ke Raudhah. Pastikan anda sudah daftar dan cuba dapatkan slot awal-awal.
  • Careem & Uber: Sangat berguna untuk anda bergerak atau mahu ke lokasi ziarah luar seperti Masjid Quba dengan harga tetap.

2. Ketibaan di Airport: Ringkas & Cepat

Setibanya di airport, prosesnya sangat straightforward. Terus ke imigresen dan ambil bagasi.

  • Tip Pro: Simpan salinan digital (atau cetak) dokumen penting seperti Pasport, Visa, Baucher Hotel, dan Tiket Tren (HST) dalam satu folder atau photo gallery telefon supaya mudah ditunjukkan jika diminta.
Exit Airport dan belok ke kanan, anda akan lihat tiang bus stand no 400

3. Transport ke Hotel dari Madinah Airport: Bas vs Teksi

Ramai jemaah terus meluru ke teksi, tapi saya memilih alternatif yang jauh lebih murah dan sistematik:

  • Airport Shuttle Bus (Bus Stand 400): Keluar dari pintu paling kanan airport, belok kanan dan cari stesen bas number 400 (paling hujung kanan) tunggu di situ.
  • Tambang: Hanya SAR11 (Januari 2025) dan boleh bayar terus kepada pemandu menggunakan kad kredit. Sangat mudah!
  • Kekerapan: Bas ada setiap 30 minit. Ia akan berhenti berhampiran kawasan hotel. Anda kena tahu lokasi hotel yang anda booking. Lihat pada map semasa booking hotel. January 2025 Airport Shuttle Bas berhenti tak jauh dari Hilton Hotel.
  • Kenapa bukan teksi? Di luar Arrival Hall ada banyak teksi dan ‘prebet sapu’, Anda perlu pandai tawar-menawar (bargain) untuk elak di-scam. Saya lebih suka ketenangan minda dan ‘malas’ tawar menawar, oleh itu bas adalah pilihan terbaik.

4. Di Madinah saya menginap selama 4 malam di Dar Al-Taqwa Hotel.

Selepas berjaya ‘survive’ perjalanan dari airport, fasa seterusnya adalah memastikan lokasi penginapan bersesuaian dengan keperluan sendiri. Bagi saya, hotel dan lokasi hotel adalah penting. Saya nak dekat dengan pintu masuk wanita dan Hotel pilihan saya memenuhi syarat tersebut. Namun jangan risau, ada banyak lagi hotel yang strategik dan sesuai untuk jemaah wanita terutama yg buat Umrah DIY.

Saya memilih untuk menginap di Dar Al-Taqwa Hotel kerana lokasinya. Keluar saja pintu hotel anda terus berada di ruang solat wanita. Perjalanan menuju ke pintu wanita juga tidak jauh (Gate 25) atau berhampiran King Fahd Gate. Sila lihat map di Booking.com. Wbp, ia adalah terpulang pada budget anda. Ada banyak lagi hotel lain yang jauh lebih murah berbanding Hotel Dar Al-Taqwa.

2. Food Stories: Syurga Makanan di mana-mana

Jangan risau bab makan, Anda tak akan kelaparan. Tak perlu angkut makanan berat dari kampung halamam ketika menunaikan Umrah. Anda berada di bumi yang Barakah. Makanan melimpah ruah dan masih dalam kemampuan kita untuk makan di luar setiap hari. Susu, keju, buah-buahan, pelbagai jenis makanan berat dan ringan semua ada…bukan selalu kan, oleh itu jamulah diri anda sebaik mungkin.

  • Breakfast Hotel: Jika hotel anda sediakan sarapan, manfaatkan sepenuhnya untuk jimat kos.
  • Street Food vs Restoran: Di sekeliling Masjid Nabawi, terdapat berpuluh pilihan kedai makan dari yang murah hingga mewah.
  • Food Court Terdekat: Berhampiran kompleks Taiba Suites, terdapat sebuah food court yang menawarkan pelbagai pilihan hidangan.
  • Pilihan Menu: Dari makanan segera antarabangsa (seperti Hardee’s atau Starbucks, KFC, McD, Pizza Hut) sehinggalah ke restoran masakan tempatan dan Asia.
  • Porsi Arab: Kebanyakan hidangan di sini bersaiz besar! Satu set nasi biasanya boleh dikongsi untuk 2 orang.
  • Keperluan Harian: Jangan risau jika tertinggal barang. Di sini banyak supermarket yang lengkap. Tak perlu bawa barang berat-berat dari Malaysia; semua ada di sini!

Ziarah Madinah & Transisi ke Makkah: Tips Bas Double-Decker & Strategi HST

Menetap 4 malam di Madinah terasa sangat singkat, jadi saya pastikan setiap saat dimanfaatkan sepenuhnya. Ini cara saya menguruskan ziarah dan perjalanan ke Makkah:

1. Untuk bergerak ke lokasi ziarah, saya lebih selesa menggunakan Uber. Ia sangat efisien dan harganya tetap, jadi tak perlu pening kepala tawar-menawar.

  • Bas Double-Decker (City Sightseeing): Ini satu pengalaman yang wajib anda cuba! Beli tiket di kaunter Hentian bas yang terletak berhampiran Hotel Sofitel.
  • Harga Tiket: Sekitar SAR 80 seorang dan sah untuk kegunaan sepanjang hari (pagi hingga malam).
  • Cara Guna: Anda boleh duduk sahaja di tingkat atas bus double decker berwarna merah itu untuk menikmati pemandangan kota Madinah. Anda boleh turun di lokasi pilihan (seperti Jabal Uhud), ziarah, dan kemudian naik semula bas seterusnya yang akan berhenti di lokasi yang sama setiap 30 minit atau sejam sekali (sila cek jadual, saya dah lupa). Ia sangat fleksibel dan sangat berbaloi)

2. Raudah & Solat di Masjid Nabawi

Ini bahagian yang saya agak keliru dan paling kritikal untuk jemaah DIY:

  • Slot Raudah: Jangan putus asa jika belum dapat slot sebelum terbang. Saya sendiri hanya berjaya book slot melalui Apps Nusuk selepas tiba di Madinah! Tipsnya: Sering buka apps untuk lihat samada slot ziarah telah dibuka untuk booking. Agak mengelirukan namun anda harus cuba juga. Jika tidak anda tidak akan dapat masuk ke Raudah dan rasa sangat rugi. Datang jauh untuk ziarah Rasulullah, namun gagal dapat slot.
  • Waktu Solat: Jemaah pada Januari sangat ramai. Pastikan anda tiba di masjid paling lewat 30 minit sebelum azan. Jika lewat, pintu masjid akan ditutup dan alternatif seterusnya adalah solat di dataran sahaja.
Ziarah Raudah (pastikan ada apps Nusuk)

3. Logistik ke Makkah: Haramain High Speed Train (HST)

Setelah 4 malam yang indah, tiba masanya untuk ke Makkah. Saya memilih tren laju (HST) yang sangat moden.

  • Booking Awal: Saya tempah tiket secara online 2 minggu sebelum tarikh perjalanan. Ada banyak laman web penyedia tiket, pastikan bayar terus untuk dapatkan e-ticket.
  • Pilih Seat: Anda boleh pilih tempat duduk semasa booking. Simpan kod QR atau e-ticket dalam phone kerana ia akan di-scan sebelum masuk ke ruang boarding.
  • Ke Stesen Tren: Saya ambil Uber dari hotel ke stesen. Mudah sahaja atau anda boleh arrange dengan hotel untuk booking transport ke Train Station.
  • Tip Penting: Pastikan tiba di stesen sejam sebelum tren bertolak. Stesennya sangat luas! Jangan sampai kelam-kabut mencari pintu masuk (entrance) yang betul kerana tren sangat menepati masa dan tidak akan menunggu kita.

Nota penting: Bagi yang guna Visa Pelancung, sila beli insurance khas yang hanya cover ketika Umrah sahaja. Anda boleh google Insurance Umrah Malaysian. Bagi Visa Umrah, Insurance anda telah cover sakit dan hospitalisation ketika di sana.

Saya akan sambung cerita lagi untuk episod Makkah, InsyaAllah.
(saya akan add banyak video dan photo untuk pos ini soon. Sila datang kembali ye…terima kasih)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *